fbpx

Captain America: The Winter Soldier Garapan Lengkap, Penuh Aksi

Kita imbas kembali filem Captain America: The First Avenger (2011) dimana rakan karib Steve Rogers bernama James “Bucky” Barnes dikhuatiri sudah mati setelah terjatuh dari kereta api dalam satu misi ketenteraan. Manakala Dr. Arnim Zola ditawarkan untuk berpaling tadah dari kuasa HYDRA untuk bekerjasama dengan Amerika dalam kajian sains kegunaan tentera yang seterusnya. Sebahagian besar penceritaan filem yang pertama itu berlaku dalam tahun 1942 iaitu asal-usul ‘penciptaan’ Captain America.

Captain America: The Winter Soldier (2014) pula ialah sekuelnya dengan menyelitkan filem The Avengers (2012) di antara kedua-dua filem. Kali ini Steve Rogers / Captain America (Chris Evans) bertugas di bawah arahan Colonel Nicholas Joseph “Nick” Fury (Samuel L. Jackson) ketua S.H.I.E.L.D. dengan gandingan rakan setugasnya Natasha Romanoff / Black Widow (Scarlett Johansson), Maria Hill (Cobie Smulders) dan askar hebat Sam Wilson / Falcon (Anthony Mackie).

ca-the-winter-soldier06

Sebelah pihak penjahat pula, musuh utama Captain America kali ini ialah Winter Soldier (Sebastian Stan) yang bersekongkol dengan Alexander Goodwin Pierce (Robert Redford) serta cameo sebagai supercomputer Dr. Arnim Zola (Toby Jones). Filem kali ini akan menyaksikan kebangkitan semula kuasa HYDRA dalam kejutan cerita yang tidak disangka-sangka.

Kisahnya bermula dengan perkenalan Steve Rogers dengan Sam Wilson dalam suasana yang tenang semasa ber-jongging. Kemudian ia semakin mula beraksi dengan misi pertama Captain America dan rakan setugasnya untuk menyelamatkan kapal milik S.H.I.E.L.D. dari tawanan lanun Algeria yang diketuai oleh Georges Batroc. Semasa dalam misi itu, Natasha mengambil kesempatan untuk memuat turun suatu data dari kapal itu.

Pengembangan cerita seterusnya akan merujuk data itu yang menjadi taruhan dan rebutan semua pihak yang akan mengancam nyawa Steve, Nick, Natasha dan rakan setugas yang lain geng hero. Kalau dahulu Captain America beraksi di zaman Perang Dunia Ke-2, kali ini dia beraksi di dunia moden hari ini. Kalau dahulu musuh Captain America jelas iaitu Red Skull dan askar-askarnya, manakala kali ini musuhnya mungkin berada di dalam pasukannya sendiri.

Captain-America-The-Winter-Soldier-Falcon

Itu yang anda kena saksikan di pawagam apakah isi kandung data itu dan apakah implikasi darinya? Mampukah Captain Amerika berdepan dengan konflik terkini yang bercambah semasa dia ‘tidur’ selama 70 tahun yang lalu?

ULASAN

Captain America: The Winter Soldier bagus dari sudut penceritaannya yang berkaitan dengan filem pertamanya mengenai kuasa HYDRA serta dijalin bersama plot yang baru disulamkan dengan kisah kumpulan S.H.I.E.L.D. Asasnya ialah mengenai perebutan kuasa politik yang berakar-umbi semenjak kegilaan Johann Schmidt / Red Skull (Hugo Weaving) di tahun 1942 yang begitu taksub dengan kuasa HYDRA. Filem ini seperti ideologi HYDRA sesuai dengan motto “if a head is cut off, two more will take its place” merebak ke dalam kerajaan Amerika secara senyap dan sulit. Tapi jangan risau, ia cuma teori konspirasi dari Marvel Comics.

Saya berpendapat bahawa Captain America: The Winter Soldier ialah filem adaptasi Marvel Comics yang terbaik setakat ini sebagai sebuah filem berjudul superhero secara individunya. Ia mengandungi elemen political thriller, perkembangan watak Steve Rogers yang baik serta babak-babak aksinya gempak di darat dan udara. Ini contoh filem aksi fantasi adaptasi komik sehebat The Dark Knight (2008) yang bagus serba-serbinya, cerita dan penceritaan untuk menghasilkan hiburan yang maksima.

Captain-America-The-Winter-Soldier-Captain-America-and-Batroc

Kelebihan utama pembikinan filem adaptasi dari komik sebegini ialah pengembangan watak, perwatakan dan cerita yang sudah sedia ada dalam sirinya bertahun-tahun. Pengarahnya, adik-beradik Anthony dan Joe Russo, serta penulis skrip gandingan Christopher Markus dan Stephen McFeely hanya perlu meneliti setiap helai komik yang berkaitan dengan isi yang hendak difilemkan sahaja. Kerja yang mudah di atas kertas tetapi sukar untuk difilemkan.

Seperti filem-filem aksi fantasi superhero lain, yang menariknya ialah siapakah lawan kepada hero? Dalam Captain America: The Winter Soldier dari judulnya sendiri ia mengangkat watak antagonis utamanya iaitu Winter Soldier. Berbanding Red Skull, kali ini Captain America bukan sahaja berlawan secara fizikal dengan musuhnya tetapi juga tekanan politik secara halus oleh watak manusia yang gila kuasa iaitu Alexander Goodwin Pierce.

CATWS15

Captain America juga dibantu oleh rakan-rakan seperjuangan yang hebat iaitu Black Widow, Falcon dan Maria Hill. Mungkin kewujudan watak-watak sidekick itu sudah cukup mampu untuk membantu tanpa perlu memanggil The Avengers yang lain? Itu yang terfikir di fikiran saya di manakah Iron Man, Hulk dan Thor di saat-saat genting Nick Fury memerlukan mereka dalam filem ini? Jawapannya sudah tentu ada dalam sekuel Avengers: Age of Ultron (2015) nanti. Oh! Jangan lupa tonton filem ini sehingga habis credit roll kerana ada sedikit babak-babak petanda untuk sekuel filem itu ya!

Filem ini mengubah banyak pandangan penonton tentang kewujudan S.H.I.E.L.D. yang mengikuti siri filem adaptasi dari Marvel Comics. Seolah-olah Captain America: The Winter Soldier ialah titik-tolak dan persimpangan plot yang akan lebih rumit dan mengujakan untuk filem-filem sambungan seterusnya.

KESIMPULAN

Captain America: The Winter Soldier bukan sahaja sebuah filem komersial bertih jagung aksi fantasi yang rangup sedap tetapi masih masuk akal dari sudut jalan ceritanya walaupun ia cuma adaptasi dari komik.

Saya menontonnya lebih dari sekali dan sudah tentu saya berikan 5 BIJI ROTIKAYA.