fbpx

Fazura Tidak Tunduk Dengan Kritikan Peminat

Dikatakan bersuara sumbang ketika membuat persembahan di pembukaan konsert F1 di Sepang minggu lalu, tidak mematahkan semangat Fazura untuk terus menyanyi. Walaupun ramai yang mengkritik dirinya untuk berada dalam dunia lakonan sahaja kerana tiada bakat dalam bidang nyanyian, beliau berpendapat peminat tidak berhak menentukan hala tuju hidupnya.

BACA: “Saya Tahu Saya Bukanlah Beyonce Atau Adele”

“Saya tidak mahu anggap mereka dengki kerana kita tidak tahu apa sebenarnya niat mereka. Kalau saya ikutkan juga kehendak pihak yang mengkritik, mereka akan tetap mencari kesilapan kita dan bercakap apa saja. Lihat di mana Yuna sekarang. Jadi saya tidak akan tunduk kepada komen negatif seperti itu. Kalau komen itu membina, saya akan terima”

“Ketika membuat persembahan, saya lihat ramai penonton terhibur, menari serta menyanyi bersama. Bagaimanapun, ketika menyampaikan lagu Sayangi Diriku, berlaku masalah teknikal. Bukan hanya saya tetapi juga penyanyi latar. Apapun saya teruskan juga persembahan. Tiba-tiba saya dapat tahu bahagian itu diviralkan,” katanya kepada Berita Harian Online.

Sementara itu, Fazura akui bahawa menyanyi merupakan impiannya sejak kecil walaupun rezeki lebih memihak kepada bidang lakonan. Ketika dikritik tidak pandai menyanyi, Fazura menjelaskan bahawa dirinya menyanyi hanyalah untuk suka-suka sahaja dan bukan kerana ingin membuktikan sesuatu, kalau tidak sudah lama beliau mengambil kelas vokal.

Terdahulu, menyedari persembahan beliau mengundang kecaman hebat dari peminat, Fazura telah memuat naik status di Instagramnya mengatakan beliau bukanlah penyanyi profesional seperti Beyonce atau Adele. Bagaimanapun status itu turut dikecam apabila Fazura dikatakan tidak layak untuk membandingkan persembahan beliau dengan penyanyi hebat itu. (rkty/w)