fbpx

Farawahida Tidak Rancang Anak Awal, Pilih Jepun Untuk Bulan Madu

Penyanyi Farawahida, sebelum ini telah selamat diijabkabulkan bersama jejaka pilihannya di Taiping, Perak pada akhir tahun lepas dan pada malam ini, pula merupakan majlis resepsi yang diadakan di Dewan Endah, Shah Alam.

Bertemu pasangan mempelai ini, Farawahida memberitahu bahawa dia tidak merancang untuk mendapatkan zuriat yang awal tetapi tidak menolak sekiranya dikurniakan dalam jangka masa yang terdekat ini memandangkan usianya yang hampir mencecah 29 tahun.

“Saya bersyukur sekiranya dikurniakan zuriat dalam jangka masa yang terdekat & memandangkan usia saya sudah mencecah 29 tahun, tetapi ini semua rezeki dan saya berharap saya mendapat rezeki itu,” ujarnya yang kelihatan berseri-seri itu.

Dia turut memberitahu bahawa suaminya merancang untuk berbulan madu hanyalah di sekitar Malaysia sahaja dan ada juga merancang untuk ke Jepun suatu hari nanti.

“Berbulan madu mengikut kata suami saya dia mahu berjalan-jalan di sekitar Malaysia seperti di pulau-pulau Malaysia yang cantik. Selain itu, kami juga akan ke Jepun selepas selesai sahaja musim sejuk InshaAllah,” katanya.

Suami Tak Halang Kerjaya Seni

Farawahida turut menjelaskan bahawa suaminya tidak menghalang dirinya untuk menyanyi dan sebagainya, asalkan tahu batas-batas sebagai seorang isteri.

“Alhamdulillah suami tak pernah halang saya dari menyanyi dan cukup untuk saya tahu mengenai batas-batas sebagai seorang isteri dan tahu untuk menjaga maruah isteri,” katanya mengakhiri perbualan. (rtky/hfz)