fbpx

Elfira Loy Terima Anugerah Ikon Wanita Muda

Walaupun masih muda remaja, pencapaian Elfira Loy dalam bidang perniagaan memang boleh dijadikan inspirasi. Bermula dengan dunia lakonan sehinggalah melancarkan beberapa produk di bawah namanya. Terbaru rezeki Elfira semakin melimpah ruah apabila beliau dinobatkan Anugerah Ikon Wanita Muda daripada Puteri Umno sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016.

BACA: Elfira Loy Gesa Peminat Jangan Hakimi Uqasha Senrose

“Terima kasih di atas pengiktirafan ini. Ia pasti menjadi pembakar semangat saya untuk terus membuat yang terbaik. Memang saya suka bekerja. Tak boleh duduk diam. Contohnya, saya belajar dan berlakon, itu cara saya bekerja dan bergerak aktif. Dunia perniagaan ini lebih fleksibel. Saya boleh kerja ikut masa sendiri jika terikat dengan pengajian dan lakonan”

“Tapi kalau nak berniaga, minat itu kena betul-betul ada. Berniaga ini memerlukan kita berfikir 24 jam. Kita perlu rancang strategi yang terbaik termasuk dengan memanfaatkan laman sosial seperti di Instagram,” katanya kepada Berita Harian Online berhubung perkara terbabit.

Mengakui dirinya seorang yang tidak boleh duduk diam, Elfira mula aktif menjual pakaian dan tudung di bawah jenama El.Elfiraloy dan TwinkelbyElfira sejak tiga tahun lalu. Bukan itu sahaja, beliau juga giat melibatkan diri dalam perniagaan karnival selain membuka kafe miliknya, Lovemesevendayscafe. Terbaru produk kosmetik Kissellecosmetics dijangka dijual tahun depan.

Apapun tahniah diucapakan kepada Elfira kerana menjadi antara penerima Anugeran Ikon Wanita Muda pada tahun ini. Penghujung tahun yang agak bermakna buat beliau selepas berhempas pulas. Walaupun ramai selebriti yang memulakan perniagaan tetapi bukan senang untuk menjadi ahli perniagaan yang berjaya, ramai juga yang telah terkandas. (rkty/w)