fbpx

Eira Syazira, Azad Sibuk Tumpu MLM Bantu Orang Melayu

Pertemuan dengan pelakon cantik dan manis, Eira Syazira dan suaminya, Azad Jazmin di majlis berbuka puasa Astro kelmarin telah menafikan bahawa mereka berdua telah berhenti berlakon sebagaimana yang telah didakwa oleh media sebelum ini.

Bagi Eira sendiri dia kini sibuk menguruskan perniagaannya.

“Rumors semata-mata, yang mengatakan saya berhenti berlakon, saya cuma berehat nak tumpukan pada bisnes, dan disini saya ingin perbetulkan keadaan. Saya merupakan artis terawal buat online bisnes sampai dikecam hebat suatu ketika dahulu dan sekarang Alhamdulillah saya nak buka butik pula, kecaman itu bagus sebenarnya untuk terus memberikan saya semangat dan melangkah ke hadapan. Selain itu, saya ada membuka bazar di bangunan Mara, dan juga merupakan duta kepada produk-produk”

“Mengenai bisnes bersama suami, saya tak boleh beri apa-apa kenyataan lagi sehingga di rasmikannya pada bulan 11 ini,” ujarnya ramah.

Eira juga mendakwa bahawa dia tidak hairan mengenai kecaman-kecaman yang dilakukan oleh sesetengah pihak mengenai apa perniagaan yang diceburinya ini kerana sekiranya sesuatu perniagaan itu membawa kemudaratan atau kesan negative kepada masyarakat sudah tentu mereka berdua akan menghindarinya.

“Saya tidak hairan dengan kecaman yang dibuat, dan saya tak faham kenapa orang kita selalu berfikiran negatif, sekiranya benda itu membawa negatif saya dan Azad pun takkan buat. Dulu kita fikir perniagaan multilevel (MLM) menipu, tetapi kita mestilah melihat melihat kesahihan pengasas produk, sejauh mana kejayaan mereka, dan produk Natasya sudah pun 15 tahun dalam industri,” ujar Eira Syazira lagi.

“Dia juga pernah menjadi penaja kepada anugerah-anugerah breprestij seperti ABPBH dan yang lain-lain, jadinya apabila mendapat peluang keemasan apa salahnya saya membantu orang-orang melayu,” kata Azad Jazmin pula.

Perniagaan MLM Turut Disertai Selebriti Terkenal Lain

Azad turut menjelaskan dengan menyertai perniagaan ini, mereka berdua boleh menampung keluarga dan anak-anak mereka yang semakin membesar. Dia juga memberitahu untuk berehat seketika dan cuba untuk memberikan fokus kepada bisnesnya ini. Katanya lagi, kejayaan bisnesnya itu walaupun masih belum dirasmikan lagi dia kini boleh bernafas lega kerana terbukti bahawa dia telah pun membeli sebuah motor mewah berjenama Ducati.

Rakan-rakan artis yang turut terlibat dalam bisnes ini ialah seperti Shaheizy Sam dan Keith Foo.

“Saya sudah berehat sejak bulan Mei yang lepas dan sekarang ini menunggu filem-filem saya yang bakal ditayangkan pada tahun ini iaitu sebanyak 8 buah filem dan saya terpaksa menolak 7 buah filem yang lain kerana mahu memberikan fokus buat sementara kepada bisnes ini”

“Lagipun melalui bisnes sedikit sebanyak membantu keluarga dan masa depan anak-anak saya. Perniagaan ini terbukti apabila saya berjaya membeli sebuah motor berjenama Ducati. Rakan-rakan artis seperti Shaheizy Sam dan Keith Foo turut menyertainya. Apa yang penting melalui perniagaan ini sedikit sebanyak boleh membantu orang Melayu,” tegasnya. (rtky/hfz)