fbpx

Bell Ngasri Tidak Kisah Orang Kata Tak Pandai Melawak

Pelakon Bell Ngasri yang memegang watak sebagai Markonah Bin Markisa dalam filem arahan Mamat Khalid berjudul Rumah Pusaka Di Simpang Jalan menjelaskan bahawa dia tidak mengambil kisah apabila segelintir peminat mengkritik bakat melawaknya selama ini.

“Kadang-kadang tidak semestinya orang boleh terima apa yang kita buat, dan saya pun tak kisah orang itu nak cakap macam itu. Kalau ikutkan saya punya perjalanan dalam bidang ini, saya masih lagi dalam proses pembelajaran,” katanya yang ditemui semasa tayangan perdana filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan malam kelmarin.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya lebih kepada watak kelakar dan saya masih lagi belajar kerana sebelum ini saya memegang watak yang serius. Saya datang bukan terus daripada melawak, mungkin orang itu tidak boleh terima saya berlawak”

“Saya sekadar mencuba dan tak pernah pula kata diri saya kelakar. Tapi kalau ada yang gelak itu terpulang. Saya hanya lakukan apa yang diarahkan oleh pengarah sesebuah filem atau drama”

Sepanjang berlakon di bawah pengarahan Mamat Khalid dalam filem terbarunya, Rumah Pusaka Di Simpang Jalan, Bell mendedahkan bahawa dia dimarahi oleh pengarah itu disebabkan Mamat Khalid tidak boleh menerima ad-lip atau sifat lawaknya dalam filem itu.

“Selalu kena marah, tak boleh terima lawak-lawak saya buat. Tapi sebenarnya dia suka cuma dia tak mahu saya merapu lebih dalam filem itu. Itulah cabaran besar yang saya tak boleh nak berbuat sesuka hati. Satu benda lagi, dia suruh berlakon tetapi mahukan muka saya yang serius dan dalam masa yang sama mahukan ciri-ciri kelakar itu ada,” ujarnya lagi. (rtky/hfz)