fbpx

Awie Tidak Sertai Muzik Muzik Kerana Bimbang Juri Tidak Telus

Berita keengganan Awie untuk menyanyikan lagu beliau yang telah tercalon di separuh akhir Muzik Muzik ke 29 mendapat perhatian ramai dan ada yang mengatakan beliau enggan terlibat kerana takut tewas dengan saingan penyanyi muda dan baru.

“Sudah lama saya berada dalam industri ini dan saya sudah melalui rasa menang dan kalah dan perkara itu tidak perlu dilalui lagi. Bukan masanya untuk saya nak bersaing dengan mereka dan bukan juga kerana mahu menjaga reputasi,” jelas Awie.

Sebaliknya Awie memberitahu yang beliau bimbang akan sistem penjurian yang tidak telus sebagai punca kenapa beliau enggan terlibat dengan sebarang pertandingan nyanyian termasuklah separuh akhir Muzik Muzik yang sedang berlangsung.

“Saya tidak suka dengan keadaan bila pemenang diumumkan, peserta dan penonton akan berikan wajah terkejut, wajah yang memberi erti ‘betul ke dia menang? Keadaan itu juga membuatkan si pemenang tidak selesa bukan? Sebab itu saya tak mahu sertai mana-mana pertandingan nyanyian termasuklah MM29. Saya takut pertandingan itu dipolitikkan,” tambahnya.

Lagu Cinta Makrifat dendangan Awie & Erra Fazira juga ciptaan sepenuhnya Erma Fatima telah pun dicalonkan dalam MM29 dan akan bersaing pada 28 November ini. (rtky/m)