fbpx

Aweera Anggap Tiada Rezeki & Bangga Dengan Kemampuan Caliph Buskers

Selepas melihat persembahan mantap Mojo bersama Caliph Buskers di pentas Anugerah Juara Lagu ke 29 (AJL 29) hujung minggu lalu, kami sendiri tidak dapat tidak membandingkan keupayaan vokal Azmi Saat dengan penyanyi asal, Aweera.

Ramai sedia maklum yang wujudnya drama antara Mojo dan Aweera sebelum ini namun perkara itu kini tinggal sejarah apabila Mojo sendiri sudah punyai vokalis baru dan Aweera turut meluahkan rasa bangga dengan persembahaan dan kemampuan Caliph Buskers.

BACA: Mahu Balas Jasa, Mojo Berjanji Akan Busking Bersama Caliph Buskers

“Apa yang lebih mengejutkan saya, bila mendengar sendiri keupayaan vokalis Caliph Buskers yang mampu membawakan lagu Romancinta dengan baik. Saya memang kagum dengan bakatnya yang luar biasa. Walaupun kurang upaya, tapi kehebatannya memang tidak dapat dinafikan,” ujarnya.

Dalam temubual bersama Sinar Harian, Aweera juga berkata beliau akur apabila tidak berpeluang untuk membuat persembahan bersama Mojo di AJL 29 dan menganggap ianya bukan rezeki.

“Saya tidak ralat dengan apa yang berlaku. Walaupun ada peminat yang sedikit kecewa saya tidak membuat persembahan, tapi mungkin ini bukan rezeki saya dan selepas apa yang berlaku saya perlu teruskan hidup,” tambahnya lagi. (rtky/m)