fbpx

Awal Ashaari: Rasa Macam Berkahwin Dengan Orang Lain Sejak Scha Hamil

Malaysian Digest (25 Feb) – Sama seperti kebanyakan suami lain, pelakon dan pengacara Awal Ashaari mengakui terdapat perubahan ketara yang berlaku kepada isterinya, Scha Al-Yahya sejak aktres itu disahkan hamil.

“I lost my wife! Rasa macam kahwin dengan orang lain (gelak)”, itu reaksi pertama Awal Ashaari saat diminta berkongsi mengenai perasaannya bakal bergelar bapa, tidak lama lagi.

Kembali menyambung perbualan, kata Awal Ashaari, dalam pada dia seronok untuk menantikan kelahiran cahaya mata sulungnya, dia juga berasa pelik dan adakalanya lucu apabila melihat perubahan sikap isterinya itu.

“Dia jadi orang lain. Karakter dia bertukar. Kalau dulu dia seorang yang agresif, sekarang ni dia menjadi lebih feminin. Dia jadi lemah lembut dan penyabar. Saya perasan dia beli bantal bunga-bunga. Tak pernah-pernah pakai kasut warna merah jambu, dia beli kasut warna merah jambu”

“Saya rasa pelik dengan perubahan karakter dia itu (tahan gelak). Tapi itu mungkin perubahan hormon, kan. Dia ada juga mengidam nak makan macam-macam dan setakat ni saya mampu turutkan. Kalau sebelum ni dia suka makan otak-otak dan nasi lemak, sekarang dia tak makan dah. Kalau dulu dia tak minum air soya, sekarang dia minum,” kongsi Awal serba sedikit mengenai kerenah isteri kesayangannya itu.

Menurutnya lagi, mereka berdua belum membuat imbasan bagi mengetahui jantina bakal cahaya mata mereka itu. Bahkan dari segi persiapan juga masih belum dibuat.

“Sekarang ni kandungan Scha hampir mencecah lima bulan. Sebenarnya masa usia kandungan 14 minggu, dia ada buat imbasan tapi ketika tu tak nampak lagi jantina anak kami. Sejak tu Scha tak buat apa-apa scan, tapi kami berdua terima apa saja pemberian Allah, tak kira sama ada bayi lelaki atau perempuan”

“Dari segi persiapan, Scha tak nak beli barang awal-awal. Dia cakap tunggu dulu bila dah masuk tujuh atau lapan bulan nanti baru dia nak buat persiapan untuk menyambut kelahiran anak kami”, tambah hos program Melodi ini.

Awal Ashaari juga memaklumkan yang Scha al-Yahya mahu berpantang di rumah ibunya yang terletak di Mount Kiara, selepas melahirkan nanti.