fbpx

Atilia Berhenti Tabiat Merokok Selepas Amal Yoga

Selepas penyanyi ini berkahwin pada Ogos 2014 lalu, tidak banyak kisah beliau yang kita dengar namun kami pasti ada antara anda di sana merupakan peminat beliau dan masih mahu membaca kisah terkini penyanyi genit bersuara merdu ini.

Dalam edisi terbaru majalah Media Hiburan, Atilia Haron berkata beliau kini mula merasakan yang ada kebenaran kata orang tua-tua bahawa bercinta selepas kahwin lebih terasa nikmat.

BACA: Atilia Haron Selamat Bergelar Isteri Jurutera Bunyi, Adam Sofian

“Sebelum ni walaupun sudah bercinta selama enam tahun hubungan kami ibarat kawan baik sahaja. Kehidupan kami kini lebih dekat dan rapat antara satu sama lain. Betul kata orang, bercinta selepas kahwin lebih istimewa. Sebelum ini, kami jarang ke hulu ke hilir berdua,” ujarnya.

Ramai sedia maklum yang Atilia antara selebriti yang rajin mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif termasuklah yoga dan penyanyi ini sendiri senaman itu banyak membantu dirinya ke arah yang lebih positif dari segi kehidupan seharian.

“Alhamdulillah selepas melibatkan diri dalam yoga saya rasa banyak perubahan positif. Malah saya tidak malu untuk mengaku bahawa dahulunya saya merokok, saya tidak sayangkan diri dan ada aktiviti-aktiviti tidak baik yang saya lakukan”

“Tetapi kini apabila terlibat dalam yoga kehidupan saya jadi lebih sihat banyak perkara negatif yang sudah saya tinggalkan malah diri saya juga jadi lebih tenang dan sihat,” tambahnya yang kini sudah memiliki dua pusat latihan yoga sendiri. (rtky/m)