fbpx

“Anak Saya Masih Kecil Untuk Bekerja”

Betullah bak kata orang anak ini pembawa rezeki, populariti anak kepada pasangan Hairul Azreen dan Hanis Zalikha, Yusuf Iskandar memang tidak disangkal lagi. Dengan itu ramai yang menawarkan kerja membabitkan mereka sekeluarga namun Hairul terpaksa menolak kerana usia Yusuf yang masih lagi kecil untuk terlibat di depan kamera.

BACA: Hairul Azreen Nafi Kaut Untung Dari Anak

“Saya sebenarnya tidak suka anak kecil saya bekerja. Pada masa sama saya tahu, ia mungkin rezeki Yusuf, tetapi buat masa ini biarlah dia membesar secara normal dulu. Ramai yang menawarkan pekerjaan kepada kami sekeluarga, tetapi saya keberatan untuk menerimanya.

“Kalau boleh, biarlah kami berdua saja yang bekerja buat masa ini. Orang ramai masih boleh datang dan melihat anak kami pada majlis-majlis terbuka,” katanya kepada Berita Harian Online berhubung dengan tawaran kerja yang membabitkan Yusuf muncul di kaca televisyen.

Baru menginjak ke usia lapan bulan, Hairul merasakan anak lelakinya itu masih kecil dan tidak bersedia untuk terbabit aktif di depan televisyen. Malah beliau dan isteri juga turut memperlahankan kerjaya masing-masing bagi menumpukan perhatian kepada perkembangan Yusuf, selain bergiat aktif dalam bidang perniagaan yang diusahakan mereka.

Kalau sekarang sudah mengumpul hampir sejuta pengikut di laman sosial, tidak mustahil besar nanti Yusuf bakal menjadi bintang. Tetapi buat masa ini, mungkin ada baiknya beliau diasuh dan membesar seperti kanak-kanak yang lain, kalau sudah rezeki tidak akan ke mana. (rtky/w)