fbpx

Amy Mastura Akui Bertudung Kerana Hidayah Allah

Selepas primadona Malaya Erra Fazira bertudung kini giliran penyanyi Amy Mastura mengikut jejak langkahnya selepas 2 minggu mengenakan tudung. Perkara ini telah disahkan sendiri olehnya dan apa yang diharapkannya selama ini telah pun termakbul setelah diberikan hidayah oleh Allah Taala dan berkat juga doa daripada sahabat handai dan peminat-peminat yang tidak putus untuk mendoakan dirinya.

BACA: Amy Mastura Kini Sah Sudah Bertudung Penuh

“Saya didorong oleh kawan-kawan dan peminat di samping diri saya sendiri yang berminat untuk bertudung. Sebelum ini saya suka membeli tudung dan bagi kepada orang dan saya suka sangat apabila melihatkan orang bertudung tapi nak memulakan diri sendiri saya tak tahu macam nak bermula”

“Suatu hari bila saya sesi fotografi untuk raya saya kena bertudung dan sejak hari itu saya terus pakai sehinggalah sampai ke hari ini. Buat masa sekarang saya tidak kekok langsung dan sampai sekarang belum ada hari yang saya keluar terlupa untuk pakai”

“Rezeki yang Tuhan bagi saya senang tidak ada masalah dan dipermudahkan selepas dikurniakan hidayah ini,” katanya yang ditemui di majlis berbuka puasa anjuran Sony Music Malaysia.

Tambahnya lagi, keluarga banyak menyokong dan memberikan galakan untuk dia bertudung walaupun pada mulanya mereka agak pelik. Bagaimanapun, kariernya tetap akan berjalan seperti biasa.

“Alhamdulillah suami dan anak mereka terima saya seadanya. Pada mulanya mereka agak pelik tetapi sekarang sudah biasa. Saya akan teruskan karier, sebab saya bukan buat satu penghijrahan yang drastik. Saya memilih untuk bertudung ialah sebagai langkah kecil untuk menjadi seorang muslim yang lebih baik”

“Keputusan untuk bertudung sangat pantas kerana itu merupakan rezeki, selain kawan-kawan yang memberikan semangat terutamanya peminat-peminat yang tak putus-putus berdoa,” katanya. (rtky/h)