fbpx

Afiq Muiz Rancang Bawa Ibu Ke Mekah, Tak Mahu Dikaitkan Dengan Eina Azman

Tidak lama dahulu, dunia hiburan telah digemparkan dengan kontroversi yang melibatkan pelakon Afiq Muiz yang dikatakan telah menderhakai ibunya dan ketika ditemui baru baru ini dia semakin kelihatan segak dan lebih matang dalam segala perkataan yang diucapkannya.

Malah hubungannya bersama ibu tercinta semakin pulih dan kembali seperti sedia kala. Kini dia juga sudah kembali tinggal bersama dengan ibunya sejak awal tahun ini. Perkembangan positif ini membuatkan dirinya lebih matang dan mendewasakan pemikirannya.

“Buat masa sekarang ini, Alhamdulillah saya tiada masalah dengan Umi saya telah pun memohon maaf dan kini keadaan lebih teratur. Saya kini sudah kembali tinggal bersama-sama dengan Umi sejak awal tahun ini,” tuturnya.

BACA: Afiq Muiz Akui Hubungan Dengan Ibu Sudah Baik, Enggan Komen Lanjut

Sempena hari ibu yang akan disambut tidak lama lagi Afiq Muiz telah memberitahu dia akan membawa ibunya bersiar siar. Selain itu dia juga merancang untuk mengerjakan ibadah Umrah bersama ibu tercinta pada tahun hadapan.

“Saya ingin membawa ibu berjalan-jalan & kalau diizinkan Tuhan, sekarang saya sedang kumpul wang untuk membawa ibu dan saya bersama mengerjakan Umrah pada tahun hadapan,” katanya sambil tersenyum.

Sementara itu, disoal mengenai hubungannya bersama pelakon Eina Azman, Afiq Muiz secara menyerah mengangkat tangan tidak mahu lagi dikaitkan atau berhubungan dengan aktres itu, tetapi sekiranya digandingkan dalam filem atau mana- mana drama akan datang dia tidak menolak malah baginya lebih baik bersikap profesional.

“Sekarang saya dan dia tidak lagi rapat kerana masing-masing sibuk dengan sendiri. Kalau boleh saya tidak mahu dikaitkan lagi dengan dia. Sudah-sudahlah bercakap mengenai saya dan dia. Bukan apa sebab kadang-kadang saya masih lagi disindir tetapi terpulanglah kepada mereka.

“Sekarang ini teman wanita saya adalah ibu saya. Walaubagaimanapun, saya tidak kisah sekiranya digandingkan dengannya untuk berlakon dalam filem atau drama”

Kontroversi yang melandanya, tidaklah menjejaskan periuk nasinya kerana dia masih lagi mendapat tawaran berlakon. Cuma apa yang dimahukannya adalah membersihkan namanya gara-gara terpalit kontroversi murahan itu.

“Tidak menjejaskan kerjaya saya cuma kalau boleh saya mahu membersihkan nama saya dan Alhamdulillah saya bersyukur sekali kerana gara-gara kontroversi ini saya kenal siapa kawan dan siapa lawan. Saya tidak menyesal tetapi lebih berhati-hati selepas ini,” ujarnya mengakhiri perbualan. (rtky/hfz)