fbpx

Adlin Aman Ramlie Bebas Dengan Jaminan Polis

Pelakon Adlin Aman Ramlie yang ditahan baru-baru ini kerana didakwa terlibat dengan pe­nipuan pelaburan hartanah dilaporkan te­­­lah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil bagi membantu siasatan.

BACA: Adlin Aman Ramlie Ditangkap Kes Tipu RM500,000

Memetik laporan Utusan Online, Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, pelakon tersebut dibebaskan petang semalam setelah ditahan dalam Op Nuri di rumahnya di Cyberjaya dekat sini kelmarin.

“Kita telah mengambil ke­terangan Adlin dan pihak polis berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan pelakon berkenaan. Dia kini telah dibebaskan di bawah jaminan polis. Bagaimanapun, kita tetap akan menjalankan siasatan terhadap Adlin mengenai peranannya dalam kegiatan pelaburan haram ini,” jelasnya.

Sementara itu, Adlin berkata, beliau akan mengadakan sidang akhbar khas pada Ahad ini bagi menjelaskan isu penahanannya.

“Saya rancang untuk adakan sidang akhbar di sebuah stesen tele­visyen swasta bagi menjelaskan isu sebenar berkenaan berita isu penahanan saya itu,” ujarnya kepada portal berita tersebut. (rtky/s)