fbpx

300: Rise of an Empire — Filem Aksi Peperangan Brutal

Amaran: Ulasan filem ini mungkin mengandungi spoiler.

“Better we show them, we chose to die on our feet, rather than live on our knees!” — antara kata kata semangat sebelum berperang oleh Themistocles dalam filem ini.

300: Rise of an Empire (2014) ialah sebuah filem aksi fantasi dalam versi 3D arahan Noam Murro berdasarkan komik grafik karya Frank Miller yang belum diterbitkan berjudul ‘Xerxes’. Ia memaparkan babak-babak peperangan yang sangat mengerikan.

Syarat utama sebelum menyaksikan filem ini ialah anda wajib ulang semula menonton DVD filem pertamanya, 300 (2007) kerana kisahnya kali ini sangat berkait-rapat. Penceritaan bermula sejurus kematian King Leonidas (Gerard Butler) dimana God-King of Persia, King Xerxes (Rodrigo Santoro) menghayun sebilah kapak bertatah emas ke arah leher Leonidas.

Namun begitu, pembukaan babak itu hanyalah jolokan kepada jangkaan penonton yang akan tersasar kerana filem kali ini bukan tumpuan sepenuhnya mengenai King Xerxes, tetapi watak penjahat yang lebih berbisa iaitu Artemisia (Eva Green).

300: BATTLE OF ARTEMESIUM

Seterusnya, penceritaan filem ini dikembangkan dimana babak Queen Gorgo (Lena Headey) sedang bercerita kepada bala tentera Sparta dalam kapal perang mengenai kisah Themistocles. Sebenarnya babak Queen Gorgo dan tentera berkapal ini akan kembali disambung ke penghujung filem dalam Battle of Salamis. Anda kena tunggu!

Filem dikembangkan secara imbas kembali kisah bagaimana Themistocles, seorang jeneral tentera Athen berjaya membunuh King Darius I (Yigal Naor) iaitu bapa kepada King Xerxes dalam sekuen peperangan sengit yang pertama di awal filem iaitu Battle of Marathon. Aksi dan reaksi. Kesan dari tragedi pembunuhan itu telah menimbulkan dendam kesumat oleh Xerxes terhadap seluruh Greek yang disambung dalam kisah 300 (2006) dan dikembangkan lagi untuk melengkapkan penceritaan filem 300 Rise of an Empire. Anda kena saksikan sendiri kesudahan filem perang balas-membalas dendam di antara kerajaan Parsi dan negara-negara Greek ini di pawagam sekarang!

300-11

Idea pembikinan filem ini menarik kerana menceritakan apa yang berlaku sebelum, serentak dan selepas filem pertamanya sebagai prekuel juga sekuel. Ia memberi kronologi kisah besar yang panjang dengan meletakkan sedikit ‘flashback’ dari filem yang terdahulu tetapi dari perspektif yang berbeza. Seolah-olah kalau disumbatkan filem 300 (2006) di tengah filem yang terkini, penonton akan menonton durasi hampir 4 jam semua konflik dan peperangan yang dahsyat itu.

Filem 300 yang pertama hanya menceritakan sebuah peperangan iaitu Battle of Thermopylae di antara kerajaan Sparta yang diketuai oleh King Leonidas menentang penaklukan kerajaan Parsi yang diketuai oleh King Xerxes. Manakala 300 Rise of an Empire (2014) memaparkan kronologi beberapa peperangan lain iaitu Battle of Marathon, Battle of Artemisium dan Battle of Salamis. Ya! Anda mungkin akan meng-google latar semua peperangan itu selepas menontonnya.

Namun begitu, filem ini hanyalah mengasaskan kisah beberapa peperangan itu secara kreatif dimana kebebasan pembikinnya mentafsir rupa watak, kostum, set lokasi dan paparan aksi ngeri semasa berperang dibikin dalam latar dunia komik. Ia juga masih mengekalkan suara latar sebagai pencerita melalui ‘voice-over’ dimana kali ini oleh Queen Gorgo dan Themistocles seperti membaca komik dan gaya penceritaan filem epik. Cuma sesekali terdetik juga di hati saya, tidak sejukkah pahlawan-pahlawan lelaki sasa Greek yang sepanjang masa hanya berseluar cawat seperti ahli gusti WWE itu?

300-14

Secara struktur, filem ini bercerita mengikut pecahan watak di pihak baik dan jahat. Kali ini, teraju utama filemnya ialah Themistocles (Sullivan Stapleton) yang mengetuai bala tentera Athen dan mempengaruhi kerajaan lain menentang bala tentera Parsi. Di samping itu, watak Queen Gorgo iaitu permaisuri kepada King Leonidas diangkat sebagai ketua tentera Sparta berbanding perwatakan kecil sahaja dalam filem 300 (2006).

Penampilan watak Artemisia lakonan mantap oleh Eva Green, mengubah persepsi saya kepada watak King Xerxes yang digambarkan begitu hebat di dalam filem 300 (2006). Ini kerana Artemisia rupa-rupanya ialah ‘mastermind’ sebenar dalam konflik Parsi-Greek. Xerxes hanyalah umpama wayang kulit yang dimainkan oleh dalangnya, Artemisia. Di awal filem kali ini, dipaparkan bagaimana transformasi Xerxes dari seorang putera raja yang naif kepada seorang God-King yang begitu digeruni secara luarannya. Jujur saya akui bahawa watak Artemisia paling menonjol dari semua watak baik dan jahat yang lain.

R1_V10D3_80613_CO3_PULLS_01rl_0059

Landskap filem ini sebahagian besarnya ialah sekuen-sekuen peperangan air di Aegean Sea. Ia mengangkat setingkat lagi kehebatan pembikinan filem aksi sebegini untuk menjadi rujukan peperangan di lautan yang sangat asas di zaman dahulu kerana ia memaparkan pertempuran askar bersemuka secara fizikal setelah kapal bertembung kapal. 300 Rise of an Empire mengkreatifkan bagaimana taktik peperangan dari kedua-dua belah pihak tentera laut Themistocles dan Artemisia.

Kebanggaan produksi siri filem 300 ialah kerana stail pemaparan visual sekuen aksi pertempuran secara ‘slowmo’ dalam 3D yang menjadi ikutan oleh produksi filem selepas kejayaan filem 300 di tahun 2006 dahulu. Kali ini paparan simbahan darahnya lebih melimpah-ruah dan cantasan ngeri kepala manusia serta hirisan senjata ke tubuh badan pihak lawan lebih bersepah-sepah jelas di depan mata penonton!

300-16

Semuanya dibikin nampak ‘benar’ di skrin dek kemampuan teknologi imej janaan komputer (CGI) untuk nilai hiburan maksima kepada penggemar filem-filem aksi perang dahsyat sebegini. Pesanan saya, untuk kepuasan penontonan filem ber-CGI begini ialah jangan sekali-kali menonton di sebalik pembikinannya yang menggunakan teknik ‘chroma key’ atau ‘blue screen’ di Youtube ya!

KESIMPULAN

300 Rise of an Empire ialah sebuah filem aksi peperangan yang begitu ketara brutal dan amat mendebarkan dengan klasifikasi 18 oleh LPF! Andainya anda salah seorang fanatik filem pertamanya, ia wajib tonton. Amaran kepada penonton yang mudah loya melihat darah, sila tutup mata! Sudah tentu saya yakin untuk berikan 5 BIJI ROTIKAYA.